Search This Blog

Wednesday, June 24, 2009

PAS mesti rebut peluang 12juta pengguna internet

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Hrkh) - PAS mesti merebut peluang yang terdedah
dengan sejumlah 12 juta rakyat negara ini mengakses internet sekali
gus mendekatikan parti itu dengan hubungan yang lebih luas, pantas dan
berpengaruh.

Mantan Pengerusi Lujnah Penerangan PAS Pusat, Dato' Mahfuz Omar yang
kini Naib Presiden PAS berkata, pendekatan dan pencambahan teknologi
maklumat dalam era globalisasi, kini memberi peluang kepada PAS untuk
berada di sisi segenap lapisan masyarakat dalam negara ini.

Katanya, fenomena-fenomena seperi Facebook dan blog seharusnya
dimanfaatkan oleh PAS bukan sahaja dalam konteks kekeluargaan dan
pengajian tetapi dalam konteks lebih luas termasuklah panyaluran
maklumat dalam bidang politik.

Dalam satu majlis ringkas penyerahan tugas, Mahfuz turut menyerahkan
beberapa dokumen dan cakera padat yang mengandungi maklumat Lujnah
Penerangan kepada pengerusi yang baru iaitu Ustaz Idris Ahmad di
Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut, 22 Jun lalu.

Mahfuz juga mengharapkan Lujnah Penerangan dapat mewujudkan kumpulan
pembaca dan penulis media utama sebagai usaha membentuk pemikiran dan
fikrah rakyat terhadap persoalan dan isu yang berbangkit dalam negara.

Sehubungan itu, beliau juga yakin di bawah kepimpinan penggantinya,
Idris Ahmad akan membentuk kumpulan penonton dan pemanggil khususnya
dalam siri program realiti yang bersifat wacana intelektual.

"Kita memanfaatkan pendekatan ini supaya ada kumpulan penonton dan
pemanggilan terus membuat panggilan terhadap rancangan yang disiarkan
siaran langsung yang banyak membincangkan isu-isu semasa.

"PAS harus mengambil kesempatan ini dalam pelbagai bentuk strategi
untuk menyampaikan pendapat dan pandangan dalam pelbagai isu,"
katanya.

Bahkan Mahfuz juga percaya dengan pendekatan ini PAS mampu menguasai
pemikiran masyarakat walaupun tidak boleh memonopoli media.

"Kalaupun kita tidak boleh menguasai media arus perdana ini tetapi
kita boleh menguasai pendekatan kumpulan pembaca," katanya yang
mengharapkan pendekatan ini akan memberi lonjakan lebih besar untuk
PAS mencipta kemenangan dalam PRU-13.

Dalam pada itu, Idris optimis rakyat akan berubah apabila ada maklumat
benar yang disampaikan kepada mereka.

"Inilah tanggungjawab besar Lujnah Penerangan untuk memberi pemahaman
kepada rakyat," katanya.

Idris tidak menafikan masyarakat luar bandar lebih mempercayai medium
penyiaran yang dianggap paling berkesan mempengaruhi mereka,
bagaimanapun PAS akan memastikan maklumat akan sampai ke akar umbi.

Bagaimanapun, katanya dengan wujudnya akhbar alternatif dan blog-blog
di dalam internet sekali gus, maklumat itu disampaikan kepada ahli
keluarga yang berada di luar bandar.

"Kita akan bekalkan maklumat ini kepada jentera penerangan di
peringkat kawasan kita bekalkan isu peringkat nasional serta pendirian
parti serta dasar," katanya. - mns

No comments:

Post a Comment